Rabu, 27 Januari 2016

Novel Songket Berbenang Emas (Sinopsis Bab 1 - Bab 10)



Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti 
Setelah  penat  berlatih  bola  jaring  untuk  bertanding   dengan  pelajar  tingkatan  enam rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang disuruh  oleh  Cikgu  Hisyam.Dia  memberitahu  Siti  Wangi,  isi  telah  dicari  tetapi  fakta-fakta masih tidak lengkap.
Kemudian,Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki mahu  bertemunya  di  kantin.Dahlia  pergi  bertemu  dengan  lelaki  itu  yang  bernama  Azhari. Lelaki  itu  memberitahu  Dahlia  ,dia  telah  habis  belajar  dan  akan  mendapat  segulung  ijazah pada  bulan  Ogos  nanti.  Azhari  juga  memaklumkan    keluarganya  akan  datang  ke  rumah Dahlia untuk tujuan merisik.Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh
Pada  petang  itu,  Azhari  menghantar  Dahlia  pulang ke kampungnya  tetapi  sehingga ke  jambatan  sahaja.Jirannya  yang  bernama  Aton  telah  menegurnya  semasa  dia  turun  dari kereta Azhari. Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia tidak  suka tinggal  di  asrama.  Dahlia  membalas sindiran  Aton  dengan  mengatakan  bahawa orang  tuanya  masih  ada.  Dahlia  tidak  suka  akan  Aton  kerana  Aton  mengatakan  emaknya “tak betul”.
Sewaktu   sampai   di   rumahnya,Dahlia   terdengar   adiknya,   Anggerik   menangis kelaparan.  Melati  memberitahu  emak  mereka  telah  keluar  rumah  dan  belum  pulang  lagi. Dahlia  terus  mendapatkan  Anggerik  dan  memarahi  Melati  kerana  membuat  susu  yang  terlalu   cair.   Sebenarnya,   susu   telah   habis..   Dahlia   telah   menyiapkan   makan   malam manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo  secara hutang. 
Selepas  itu,  Dahlia  pergi  mencari  emaknya  di  kebun getah.  Dahlia  terdengar emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya.Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan Dahlia menangis.Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ kerana  sudah  masuk  waktu  Maghrib.  Dahlia  menuding  ke  arah  emaknya.  Embong  cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu  dan  dia  tidak  mahu  diganggu.  Dahlia  mencadangkan  abahnya  supaya  mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun.

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami
Selepas  solat  Isyak,Dahlia  asyik  befikir  tentang  penyakit  emaknya  itu.  Dia  tertanya-tanya sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang yang berhasad  dengki  dengan  keluarganya.  Akhirnya,  Dahlia  pasrah  dan  mengakui  bahawa semua  yang  berlaku  itu  adalah  ketentuan  Allah.Dahlia  berdoa  agar  Allah  menguatkan imannya,  memberi  ketabahan  dan  kekuatan  untuk  melalui  hari-hari  yang  mendatang.Dia juga  berdoa  agar  emaknya  pulih  seperti  sediakala.  Setelah  habis  berdoa,  Dahlia  terdengar suara Nek Kiah,ibu kepada emaknya. 
Nek  Kiah  memarahi  Embong  kerana  mengikat  Saleha.  Abah  Dahlia  memberitahu, beliau terpaksa berbuat sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka akan  keluarga  Dahlia  kerana  mereka  hidup  dalam  kemiskinan.Nek  Kiah  membandingkan keluarga Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang.Haji Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari Hospital Batu Pahat.   Tujuan   kedatangan   mereka   adalah   untuk   membawa   Saleha   mendapatkan rawatan.Walaupun  anak-anak  dan  Nek  Kiah  melarang  Saleha  untuk  dibawa  ke  hospital namun Embong serba salah menghadapi situasi itu. 

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah
Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu  Melati menyiapkan latihan  matematik.  Dahlia  merebahkan  dirinya  di  sebelah  Anggerik.Dahlia  mengimbas kembali  pantun  yang  diungkapkan  oleh  Azhari  sewaktu  menghantarnya  pulang  pada  hari Khamis  yang  lalu.Dahlia  tidak  sanggup  untuk  melukakan  hati  sesiapa.  Dia  meminta  agar Azhari  mengerti  keadaan  keluarganya  yang  belum  sempurna.  Dahlia  juga  meminta  izin Azhari untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya.Pada  petang  Khamis  itu,  dia  dihantar  oleh  Azhari  pulang  ke  kampung  tetapi  Dahlia meminta  Azhari  memberhentikannya  jauh  dari  rumahnya  untuk  mengelakkan  salah  faham orang    kampung.    Pada    keesokan    paginya,Dahlia    dikejutkan    oleh    abahnya    yang menyuruhnya   pergi   ke   sekolah.   Embong   memberitahu   Dahlia   bahawa   beliau   akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan  cara  untuk  menyelesaikan  masalah  tersebut  kerana  beliau  terpaksa  bekerja  mencari nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke  hospital.  Embong  pasrah  memikirkan  masalah  tersebut,  beliau  menyerahkan  segala-galanya kepada Tuhan.  Embong megimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya, Nek  Kiah  yang  tidak  suka  akan  keluarga  mereka.  Nek Kiah  tidak  suka  keluarga  mereka disebabkan  mereka  hidup  miskin  tidak  seperti  anak-anaknya  yang  lain.  Anak-anak  Saleha dan  Embong  tidak  diumpamakan  sebagai  cucu  oleh  Nek Kiah.  Embong  juga    teringat semula  peristiwa  isterinya  pernah  memberitahu  bahawa  sejak  kebelakangan  ini  beliau terasa ada bayang-bayang mengejarnya.Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah. Embong   dikejutkan   oleh   suara   Dahlia   yang   disangkakan   isterinya.   Embong memberitahu   Dahlia   doktor   memaklumkan   emaknya   hanya   rungsing,   Embong   tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital  itu kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Embong juga  memberitahu  bahawa  beliau  akan  memetik  buah  kelapa  sawit  Haji  Sulaiman  pada keesokannya.Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred  tiga dalam SPM.

Bab 5: Kata Setajam Pedang
Dahlia  menaiki  bas  JMBC  berjalur  merah  untuk  ke  sekolah.Dia  yang  sepatutnya pulang  pada  hari  Sabtu  ke  asrama  tidak  berbuat  demikian  kerana  adiknya,  Anggerik  asyik menangis.Dahlia  tidak  rela  dituduh    mementingkan  diri  sendiri  oleh  sebab  itu  dia  pergi  ke sekolah  pada  hari  Ahad  itu  dari  rumahnya.  Dahlia  sampai  lewat  ke  Sekolah  Menengah Kebangsaan  Temenggong  Ibrahim  iaitu  lima  minit  pukul  lapan  pagi.  Pintu  pagar  telah berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia  ditanya  oleh  Cikgu  Salwani  punca  kelewatannya  dan  meminta  Dahlia  berjumpa dengannya pada petang itu. Dahlia  tidak  dapat  menumpukan  perhatiannya  di  dalam  kelas.  Dia  asyik  teringat emak, Anggerik dan abahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada pukul  2:00  petang  untuk  membincangkan  kertas  kerja yang  akan  dibentangkan  pada  hari Khamis.  Dahlia  memberitahu  dia  tidak  bersedia  dan  pada  petang  itu  dia  hendak  melawat emaknya di  hospital. Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana dia  risau  akan  ditanya  macam-macam.  Dahlia  telah  keluar  dari  asrama  tanpa  kebenaran wardennya  dan  terus  pergi  ke  hospital  untuk  berjumpa  emaknya.  Dahlia  terserempak dengan Haji Sulaiman ketika di hospital.Haji Sulaiman memaklumkan emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru. 

Bab 6: Ditelan Arus Deras
Dahlia   telah   dihantar   oleh   Haji   Sulaiman   ke   rumahnya.   Haji   Sulaiman   telah memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah seolah-olah  menyalahkan  nasibnya  yang  sebegitu.Pada  petang  itu  Nek  Kiah  telah  datang  ke rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah orang gila. Dahlia amat  terpukul  dengan  perkataan    orang  gila”  yang  dilafazkan  oleh  Nek  Kiah,  nenek  yang melahirkan  emaknya.  Nek  Kiah  memberitahu  beliau  geram  apabila  semua  orang  bercakap mengenai  emak  Dahlia  di  balai  raya.Beliau  memberitahu  punca  emak  Dahlia  gila  kerana rumah  itu  dilanggar  hantu  dan  penuh  syaitan  dan  selepas  ini  mungkin  ahli  keluarga  yang lain pula akan terkena.Nek Kiah telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan pintu tengah dengan tanda campur supaya hantu tidak masuk rumah. Dahlia mengucap dua kalimah  syahadah  beberapa  kali  kerana  tidak  percaya  dengan  tindakan  neneknya  itu. Segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. 
Tiba-tiba  Dahlia  dikejutkan  dengan  jeritan  di  tebing  sungai  yang  mengatakan  Said telah  hilang  dibawa  arus  sungai.Dahlia  terus  terjun  ke  dalam  sungai  untuk  mencari  Said. Akhirnya,  Dahlia  telah  menemui  Said  setelah  dibantu  oleh  seorang  pemuda  yang  bukan daripada  penduduk  kampung  itu.  Malangnya,  denyutan jantung  Said  sudah  terhenti.  Nek Kiah telah menyuruh pemuda itu membawa Said keliling rumah tujuh kali kerana dikatakan nyawanya boleh kembali tetapi malangnya Said telah tiada. 

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista
Dahlia   menangis   setelah   pulang   daripada   menziarahi   mayat   Said.   Embong kehairanan  kerana  selama  ini  Dahlia  telah  dididik  berjiwa  kuat  dan  mampu  menghadapi setiap  dugaan.  Selepas  itu,  Embong  ke  rumah  Aton  untuk  menziarahi  mayat  Said.  Said merupakan   anak   tunggal   Aton.   Aton   mencari   Embong   dan   memarahinya   dengan mengatakan  anaknya,Dahlialah  yang  menyebabkan  Said mati  dan  Embonglah  yang  mahu Said mati. Embong terdiam mendengar kata-kata Aton. Embong turun ke bawah dan masuk ke  dalam  kelompok  orang  ramai  di  halaman  di  bawah  pokok-pokok  getah.  Embong membiarkan  Aton  berkata-kata  tentang  dirinya  dan  Dahlia,  beliau  yakin  kebenaran  akan terbukti  kelak.  Embong  terdengar  suara-suara  yang  mempersoalkan  kematian  Said  dan percakapan  mereka  yang  semakin  menyakitkan  hatinya.
 Namun,  Embong  tetap  bersabar dan beliau tidak mahu mencari musuh.   Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke Lim memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu punca Dahlia  menangis  setelah  pulang  dari  rumah  Aton.  Memandangkan  masa  baru  pukul  10.25 pagi , Embong pergi  memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir. Embong mengimbas kembali  peristiwa  pada  petang  semalam  ketika  Dahlia  sedang  memasak  di  dapur  dalam keadaan   yang   lemah   selepas   menyelamatkan   Said.Tersentuh   hati   Embong   kerana sepatutnya  masa  remaja  Dahlia  dihabiskan  dengan  buku-buku  pelajaran  dan  bukan  kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong terbau sesuatu.Beliau ternampak ular sawa sebesar paha  melingkari  pokok  kelapa  sawit.  Sewaktu  Embong pergi  mencari  buluh,  ular  sawa  itu telah   hilang.   Tanpa   diduga,   ular   itu   menjatuhkan   tubuh   ke   arah   Embong   hingga menyebabkan Embong panik. 

Bab 8: Bayang-bayang Kecelakaan
Dahlia  bermimpi    buruk  tentang  ular  sawa  itu    yang  cuba  membelitnya.  Dahlia tersedar  apabila  terdengar  tangisan  Anggerik.  Anggerik  demam  panas.  Dahlia  bercadang untuk  membawa  Anggerik  ke  klinik  pada  petang  itu.  Dahlia  ternampak  dua  orang  lelaki bersongkok  ke  rumah  Aton.Dia  teringat  semula  kata-kata  orang  yang  menuduhnya  lambat menyelamatkan Said.  Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil mendukung adiknya. Melati meluahkan kata-kata  untuk  berhenti  sekolah  dan  mahu  Dahlia  yang  meneruskan  persekolahannya. Melati bertindak sedemikian kerana malu apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila.  Dahlia  menasihati  Melati  supaya  tidak  mendengar  kata-kata  orang  kerana  orang  itu tidak akan menyenangkan kehidupan mereka. 
Embong  pulang  membawa  ular  sawa  di  atas  pungkis. Dahlia  ketakutan.  Embong kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan menyuruhnya membuang ular itu.  Embong  membawa  ular  itu  pulang  sebagai  bukti  beliau  telah  berjuang  dengan  maut untuk menyelamatkan dirinya. Embong cuba mendapatkan Dahlia untuk mengetahui punca dia ketakutan. Dahlia memberitahu akan mimpinya itu. Embong keluar dari rumah dan pergi  memerhatikan   aliran   sungai   yang   deras   berhampiran   rumahnya   itu,   dia   memikirkan kesanggupan   Dahlia   berjuang   menyelamatkan   nyawa   orang   lain   sehingga   sanggup mengetepikan  nyawa  sendiri.  Tiba-tiba,  Embong  dikejutkan  dengan  kehadiran  seorang pemuda Melayu bersama-sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia. 

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa
Najib  telah  datang  bersama  dengan  Kavita  untuk  berjumpa  dengan  Dahlia.  Najib melihat kedaifan hidup keluarga Dahlia. Kini barulah dia memahami punca Dahlia menolak hasratnya untuk datang pada Hari Raya Aidilfitri. Najib mempelawa Dahlia untuk membawa adiknya ke klinik.  Pada  ketika  itu,  bapa  saudara  Dahlia,  Pak  Cik  Seman  pergi  ke  rumah  Nek  Kiah. Seman  memberitahu  Nek  Kiah  dia  malu  apabila  orang  bercakap  tentang  adiknya  Saleha yang  telah  dibawa  ke  hospital  di  Johor  Bahru.  Seman  menuduh  Embong  mempelajari  ilmu sehingga  Leha  sanggup  berkahwin  dengannya  yang  tidak  diketahui  asal  usulnya.  Seman mencadangkan  agar  tanah  yang  diduduki  oleh  keluarga  Dahlia  dijual.  Seman  berjanji dengan  emaknya  untuk  mencari  pembeli.  Nek  Kiah  bersetuju  dengan  cadangan  Seman apabila mendengar nilai tanah itu yang dapat dijual dengan harga RM15,000 . 

Bab 10: Selamat Tinggal,Asrama Puteri !
Cikgu  Salwani  memarahi  Dahlia  yang  telah  mengambil keputusan  untuk keluar  dari asrama.   Beliau   memaksa   Dahlia   untuk   memberitahu   puncanya   tetapi   Dahlia   hanya memberitahu  bahawa  dia  ada  masalah  keluarga.  Dahlia  tidak  mahu  menceritakan  perkara sebenar.  Cikgu  Salwani  meminta  Dahlia  agar  jangan  keluar  dari  asrama  kerana  STPM tinggal hanya empat bulan sahaja .Dahlia menenangkan dirinya di perpustakaan.  Tiba-tiba  dia  disergah  oleh  Kavita  yang  memberitahu  bahawa  Cikgu  Hisyam,  guru kelasnya  ingin  berjumpa  dengan  Dahlia  di  Bilik  Kerjaya.  Cikgu  Hisyam  telah  mengetahui masalah  Dahlia  daripada  Kavita  yang  pernah  berkunjung  ke  rumah  Dahlia.  Cikgu  Hisyam mengatakan bahawa Dahlia berpotensi untuk lulus dengan cemerlang dalam STPM.

Selasa, 26 Januari 2016

Sinopsis Umum Novel Songket Berbenang Emas



Novel  ini  mengisahkan  kehidupan  Dahlia, yang tinggal di Kampung Parit Haji Rais. Dahlia seorang  murid  yang  cerdik  dan  disenangi  oleh teman-temannya.  Namun,  Dahlia  menghadapi  masalah  keluarga  sehingga  mengganggu tumpuannya   terhadap   peperiksaan   STPM   yang   bakal   didudukinya.   Sebagai   anak sulung,Dahlia   terpaksa   memberikan   perhatian   kepada adik-adiknya   setelah   pelbagai masalah   melanda   keluarganya.   Ibunya,   Saleha   dirawat    di   Hospital   Permai   kerana mengalami  masalah  tekanan  mental.  Ayahnya  dipatuk  ular  sehingga  dimasukkan  ke  wad selama beberapa hari. Adik lelakinya pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak berminat  untuk  belajar.Situasi  ini  telah  menyebabkan  Dahlia  terpaksa  keluar  dari  asrama untuk    menjaga    adik-adiknya.Tekanan    hidup    Dahlia    semakin    bertambah    apabila hubungannya dengan Azhari dipandang serong oleh jirannya.Tindakan berani Dahlia terjun ke  sungai  untuk  menyelamatkan  Said  tidak  dihargai, malah  dicemuh  pula  kerana  gagal menyelamatkannya. Paling malang, keluarganya sendiri menyisihkan Dahlia sekeluarga. Nek kiah masih menyimpan prejudis terhadap keluarga Dahlia dan bapa saudaranya, Seman cuba mengaut keuntungan dengan cadangan menjual tanah keluarga yang didiami keluarga dahlia. Walau bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan. Hadiah atas  kesabarannya  menghadapi  pelbagai  dugaan  hidup ialah  kejayaan  Dahlia  yang  dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pertunangannya dengan Azhari.