Jumaat, 22 Mei 2009

Cerita Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya

Sinopsis / ringkasan cerita

Burung bayan telah bercerita kepada Bibi Zainab hingga menyebabkannya terlupa untuk berjumpa dengan kekasihnya. Burung bayan bercerita tentang seekor bayan yang mempunyai tiga ekor anak tinggal di dalam sebuah lubang kayu. Anak-anak bayan bersahabat dengan anak cerpelai. Ibu bayan marah dan mengatakan bahawa anak cerpelai tidak setia. Perbuatan anak-anak bayan itu disifatkan seperti cerita anak kera yang bersahabat dengan anak saudagar. Bapa bayan pun bercerita tentang anak kera yang beramain catur dengan anak saudagar. Akibat kalah dalam permainan itu anak kera menghamburkan buah catur kepada anak saudagar. Anak saudagar berasa malu dan menghunus pisau lalu terkena anak kera. Anak kera melontarkan pisau itu semula lalu terkena anak saudagar. Apabila melihat keadaan anaknya itu, bapa kera menasihati anaknya supaya jangan bermain dengan anak saudagar lagi. Anak kera engkar akan nasihat bapanya.
Apabila luka anak kera sudah sembuh, luka anak saudagar masih belum sembuh lagi. Menurut tabib, bagi menyembuhkan luka itu anak saudagar perlu memperoleh hati anak kera. Saudagar pun membunuh dan mengambil hati anak kera untuk mengubati anaknya. Menurut bayan, itulah balasan terhadap orang yang tidak menurut kata ibu bapanya.
Anak bayan terus bersahabat dengan anak cerpelai. Pada suatu hari seorang kanak-kanak telah menangkap anak cerpelai. Cepelai amat sedih lalu pergi berjumpa dengan serigala. Serigala menasihatinya dengan memberi jalan supaya kanak-kanak itu turut menangkap anak bayan. Kanak-kanak yang sudah tahu akan tempat tinggal anak bayan. Selepas itu kanak-kanak itu pergi ke tempat anak bayan tinggal pada waktu malam untuk menangkapnya. Kanak-kanak itu menutup lubang pokok dan datang semula keesokannya untuk menangkap bayan yang terperangkap dalam batang pokok. Malangnya, bayan membuat helah dengan berpura-pura mati. Semua bayan yang disangka mati oleh kanak-kanak itu dicampak ke tanah. Sebaik-baik tercampak ke tanah, bayan-bayan itu pun terbang untuk menyelamatkan diri kecuali bayan tua.
Kanak-kanak itu hendak mengambil bayan tua, tetapi bayan tua membuat helah lagi. Bayan tua mengatakan bahawa tidak kenyang jika dagingnya dimakan. Bayan tua mencadangkan dirinya dijual kepada raja kerana menurut tabib, penyakit sopak pada kaki dan tangan raja boleh diubati oleh bayan. Kanak-kanak it uterus membawa bayan ke istana raja. Bayan dijual dengan harga empat ribu dinar. Penyakit raja akhirnya sembuh. Setelah beberapa lama, bayan memohon izin untuk pulang bagi melihat bini dan anak-anaknya, lalu raja mengizinkannya.
Bayan menamatkan cerita “Anak Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya” itu kepada Siti (Bibi Zainab), isteri kepada saudagar Khojah Maimun yang sudah bersiap-siap hendak bertemu dengan kekasihnya. Ketika itu, hari sudah hampir siang. Apabila menjelang malam keesokan harinya, sambil memuji-muji kecantikan Siti, bayan menyambung ceritanya lagi. Siti pula mengatakan bahawa dia amat seronok mendengar cerita bayan. Bayan pun terus bercerita.

Dipetik daripada blog Cikgu Mohd Khir Kassim


Tema

Petikan hikayat berbingkai itu mengemukakan tema nasihat. Ibu bapa bayan telah memberi nasihat kepada anaknya supaya berhati-hati memilih kawan.


Persoalan
  1. Kepentingan memilih kawan. Bayan telah melarang anaknya supaya jangan berkawan dengan anak cerpelai kerana cerpelai bersikap tidak setia.
  2. Dendam dan kezaliman. Ibu bapa cerpelai yang telah kehilangan anaknya mahu membalas dendam anaknya dengan bayan. Ia meminta serigala untuk membunuh anak-anak bayan.
  3. Kebijaksanaan menggunakan fikiran. Bayan tua bijak menyelamatkan dirinya daripada dibunuh oleh seorang budak. Ia meminta budak itu menjualnya kepada seorang raja. Bayan tua mendakwa dia boleh mengubati penyakit raja tersebut.


Watak & Perwatakan
  • BAYAN
Bayan merupakan burung peliharaan suami Bibi Zainab iaitu Kojah Maimun yang ditugaskan untuk menghiburkan mereka. Bayan pandai bercerita dan bersuara merdu.
Bayan merupakan tukang cerita yang berhati mulia kerana cuba menghalang perbuatan sumbang Bibi Zainab.
Bayan jugak bijak dalam melengah-lengahkan Bibi Zainab dengan bercerita sehingga Bibi Zainab terlupa akan janjinya dengan kekasihnya.

  • Anak Bayan
Anak Bayan digambarkan terlalu degil kerana tidak mahu mendengar nasihat bapanya. Dia telah berkali-kali diingatkan supaya jangan berkawan dengan anak cerpelai kerana cerpelai dikatakan tidak setia. Namun dia tetap berdegil. Anak bayan hampir-hampir menjadi mangsa seorang budak dan berjaya melepaskan diri.

  • Bapa Bayan
Bapa bayan merupakan seekor haiwan yang penyayang. Kasih sayangnya kepada anaknya mendorong dia menasihati bayan supaya tidak berkawan dengan cerpelai demi keselamatannya. Dia juga bercerita kepada bayan dengan niat menyedarkan anaknya. Namun usahanya gagal.

  • Anak Kera
Merupakan watak yang diceritakan oleh bapa bayan kepada bayan demi untuk memberi pengajaran kepadanya. Seperi bayan, anak kera juga digambarkan sebagai haiwan yang degil dan tidak mahu mendengar kata bapanya. Anak kera berkawan dengan anak saudagar. Anak kera telah mencederakan anak saudagar semasa mereka bermain catur lalu menyebebkan kecederaan anak saudagar tidak sembuh-sembuh. Anak kera akhirnya menjadi korban saudagar yang mahu mengubati kecederaan anaknya setelah dinasihati oleh tabib. Tabib mengatakan hanya hati anak kera yang dapat mengubati kecederaan anak saudagar.

  • Bibi Zainab
Bibi Zainab ialah isteri Kojah Maimun yang bercinta dengan anak raja. Dia curang terhadap suaminya kerana ketiadaan Kojah Maimun, Bibi Zainab pergi menemui kekasihnya. Namun kerana ketepahan dan kebijaksanaan bayan, Bibi Zainab akhirnya leka mendengar cerita bayan dan terus janji temunya dengan kekasihnya itu.

  • Bayan Tua
Watak ini muncul apabila seorang budak cuba menangkap bayan-bayan di sarangnya. Bayan tua terperangkap dan dapat ditangkap oleh budak itu tetapi berjaya menggunakan helah untuk menyelamatkan diri. Helahnya yang bijak ialah dia mengatakan bahawa dirinya benilai jika dijual kepada raja sebagai ubat penyakit sopak raja itu. Budak terpedaya dan menjualkan bayan tua kepada raja dengan harga 4000 dinar. Dengan kuasa tuhan, penyakit sopak raja pulih dan bayan tua memohon untuk pulang kepada anak isterinya.



Latar
  1. Latar Tempat
  • Di rumah Kojah Maimun- berlakunya peristiwa bayan bercerita dari satu kisah kepada kisah yang lain kepada Bibi Zainab sehingga melekakan Bibi Zainab.
  • Sarang tempat tinggal bayan- peristiwa seorang kanak-kanak menutup lubang bayan. Budak itu berbuat demikian untuk menagkap bayan.
2. Latar Masa
  • Ketika hari sudah tinggi-peristiwa seorang budak datang ke sarang bayan untuk mengambilnya tetapi didapatinya anak-anak sudah mati.
  • Malam- budak lelaki telah menutup sarang bayan. Peristiwa bayan bercerita kepada Bibi Zainab juga dilalukannya pada waktu malam.

3. Latar Masyarakat
  • Masyarakat binatang yang boleh berkata-kata dan bertindak terdapatnya watak binatang seperti bayan dan juga cerpelai.
  • Masyarakat golongan atasan-terdapatnya golongan masyarakat istana dan juga orang kaya seperti Kojah Maimun yang bekerja sebagai peniaga,
  • Masyarakat bijaksana-kebijaksanaan bayan tua kerana melepaskan dirinya melalui helah-helah sehingga dijual kepada seorang raja.

Gaya Bahasa
  • Diksi
Selain menggunakan bahasa Melayu lama, petikan itu juga menggunakan bahasa kesat seperti "haram jadah" dan bahasa sapaan dan penuh hormat seperti:


'Hai raja besar yang berakal, sempurnya bicaranya, duli maha mulia,.... '

  • Simile
Aku lontarkan ke tanah berkaparan seperti bangkai lalu ia terbang habis
(HALAMAN 27)



Nilai & Pengajaran
  1. Kebijaksanaan penting untuk menyelamatkan diri dari bahaya. ini telah menyelamatkan bayan tua daipada dibunuh oleh budak yang menangkapnya dan membolehkan bayan mengahalang pebuatan terkutuk yang hendak dilakukan Bibi Zainab.
  2. Tolong-menolong dan nasihat-menasihati ke arah kebaikan adalah dituntut demi kesejahteraan manusia. Aspek positif ini digunakan secara meluas oleh watak-watak dalam cerita ini demi kebaikan mereka. Bayan tua telah memberi pertolongan yang amat berharga kepada raja.
  3. Jauhilah kedegilan demi keselamatan diri. Inilah kelakuan yang telah menyebebkan kecelakaan menimpa anak kera.
  4. Sifat kejam akan hanya memusnahkan orang lain.
  5. Kepentingan adanya ilmu dalam diri. Secara tersirat, cerita ini menyeru kita menjadi manusia beilmu untuk mengharungi hidup yang pancaroba.
Dipetik daripada blog sastera_Prosa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan