Isnin, 5 Mac 2012

Cerpen Idola

Sinopsis
Kehidupan si penjaga panggung yang menjadikan hero sebagai idola hidupnya. Pendiriannya bercanggah dengan pendapat isterinya yang meminta dia mengubah cara hidup agar kehidupan mereka yang miskin dapat diubah. Pada suatu petang dia berjumpa dengan si hero yang mengisahkan realiti kehidupannya sebenar dan menasihatinya agar sedar dengan realiti hidup. Hal ini menyedarkan si penjaga panggung bahawa idola yang ideal hanya wujud dalam pementasan sandiwara dan dia perlu melakukan perubahan diri.

Tema
Kekeliruan hidup antara fantasi dan realiti iaitu antara pementasan sandiwara dengan kehidupan sebenar.

Persoalan
1. Persoalan kesempitan hidup dan kemiskinan kerana pendapatan yang rendah. Si penjaga panggung dan keluarganya hanya mampu tinggal di sebuah rumah kecil .
2. Persoalan suka berkhayal untuk menjadi seperti idola. Si penjaga panggung sentiasa berangan-angan menjadi hero.
3. Persoalan kejujuran memberi pengertian kehidupan yang sebenar. Hero meminta si penjaga panggung kembali pada diri sendiri kerana kehidupan sebenar lebih menuntut perjuangan yang sesungguhnya.
4. Persoalan kesedaran diri untuk mengubah nasib diri. Isteri Si penjaga panggung cuba menyedarkan suaminya bahawa pentas sandiwara tidak sama dengan pentas kehidupan sebenarnya.

Plot
Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

(i) Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak penjaga panggung yang tinggal seorang diri setelah panggung kosong dan akan menyusun kerusi-kerusi yang ditinggalkan begitu sahaja oleh orang sebelum panggung dibuka, datang berbondong-bondong dari segenap penjuru kota sedangkan ketika itu jam sudah menunjukkan jam dua belas tengah malam.

(ii) Perkembangan
Pada bahagian ini, watak penjaga panggung memerhatikan setiap gerak-geri hero sepanjang pementasan dan berangan-angan menjadi watak hero. Sambil bekerja selepas pementasan tamat dia terkenangkan isteri dan sepuluh orang anak-anaknya yang tinggal di rumah kecil kawasan setinggan. Dia juga memikirkan nasib diri yang masih belum berubah sehinggakan isterinya mula mempersoalkan pekerjaannya kini yang belum mampu membawa sebarang perubahan walaupaun anak lelakinya sudah menjelang remaja.

(iii) Konflik
Pada peringkat ini, watak penjaga panggung datang ke panggung pada suatu petang walaupun tidak bertugas waktu itu kerana terlalu ingin bertemu dengan watak hero yang menjadi idolanya selama ini. Penjaga panggung berjabat salam dan berdialog serta memuji lakonan hero. Hero telah menyambut pujian dengan menyatakan lakonannya bukan gambaran sebenar kehidupannya dan meminta penjaga panggung kembali menjalankan tugasnya dan menerima kenyataan hidup walaupun mengetahui penjaga panggung amat teringin menjadi seperti hero.

(iv) Klimaks
Pada tahap ini watak penjaga panggung yang bertugas pada waktu malam selepas pementasan tamat seperti tidak ada kemahuan menyusun kerusi-kerusi seperti biasa kerana dia teringatkan kata-kata hero pada waktu siang semasa mereka bercakap yang sekaligus membuatkan dia berfikir tentang kekuatan dirinya sendiri.

(v) Peleraian
Penjaga panggung telah bertindak melemparkan kerusi-kerusi panggung ke dinding sebagai tanda melepaskan amarah dan rasa bersalah yang terpendam dalam dirinya.

Teknik Plot

1. Pemerian
Jam di belakang pentas berdentang dua belas kali. Si penjaga panggung membelingas matanya ke sekeliling panggung, menatap dinding. Lamanya ditenungnya dinding kaku bercat kelabu itu…

2. Monolog
“aku…aku berupaya menjadi hero kepada diriku sendiri,” bisik si penjaga panggung kepada dirinya sendiri, antara dengan tidak.

3. Dialog
“Err… tidak,”
“Bercakap benarlah saudara.”
Err… ya…ya…”

4 Suspens
Dengan bantuan tangan sasanya, si penjaga panggung mencapai kerusi di sisinya. Dengan sekuat tenaga, kerusi itu dijulangnya, kemudian dilemparkannya ke dinding. Satu demi satu di dalam panggung itu dilemparkannya ke dinding.

Watak Utama

Si Penjaga Panggung
 Bekerja sebagai penjaga panggung.
 Mempunyai seorang isteri dan sepuluh orang anak.
 Keliru dengan pendirian diri terhadap idola. Si Panjaga Panggung selalu mengagumi kehebatan hero tanpa mengetahui bahawa Si Hero bukan hanya mahu memegang watak hero.

Watak Sampingan

1. Si Hero
 Suka menyindir. Si Hero menyuruh Si Penjaga Panggung berhenti memuji dirinya dan meminta memuji diri sendiri.
 Seorang pelakon yang memegang watak utama (hero)
 Berterus terang tentang realiti kehidupan yang dilaluinya. Si Hero menyatakan bahawa kehidupan di sini hanya sementara. Dia meminta Si Penjaga Panggung melupakan kehidupan di dalam panggung.

2. Isteri Penjaga Panggung
 Berfikiran terbuka dan ingin mengubah nasib. Isteri penjaga panggung cuba menyedarkan suaminya tentang pekerjaan suaminya.
 Mempunyai 10 orang anak.

Latar Masa
1. Waktu malam semasa si penjaga panggung menjalankan kerja.
2. Waktu pementasan sandiwara, contohnya pementasan dilakukan sebelum hari menjelang tengah malam.

Latar Tempat
1. Panggung sandiwara dipersembahkan yang menjadi tempat kerja si penjaga panggung.
2. Rumah penjaga panggung di lorong sempit dan longkang yang tersumbat oleh sampah.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang terlibat dengan pementasan, contohnya hero yang menjadi pelakon pentas.
2. Masyarakat yang tinggal di perkampungan setinggan, contohnya keluarga penjaga panggung.
3. Masyarakat yang sukakan hiburan, contohnya penonton yang membanjiri panggung semasa pementasan.
4. Masyarakat yang suka berkhayal, contohnya penjaga panggung yang berkhayal ingin menjadi seperti hero.

Gaya Bahasa

1. Kata ganda
Contoh: putera-puteri

2. Metafora
Contoh: kawah lupa diri

3. Simpulan Bahasa
Contoh: merendah diri

4. Hiperbola
Contoh: suaranya bak halilintar

5. Personifikasi
Contoh: kerusi-kerusi tetap kaku

6. Falsafah
Contoh: seberkas sampah yang hanya layak digilai lalat dan gagak

Nilai

1. Nilai kejujuran, contohnya hero menyampaikan realiti kehidupan yang dilalui adalah berbeza dengan lakonannya.

2. Nilai kesabaran, contohnya isteri penjaga panggung yang sabar menghadapi kemiskinan hidup dan masih lagi tinggal di rumah kecil.

3. Nilai ketabahan, contohnya isteri penjaga panggung yang tabah menghadapi cabaran hidup dan membesarkan sepuluh orang anak dalam keadaan miskin san tinggal di kawasan setinggan.

Pengajaran

1. Kita hendaklah jujur dalam pekerjaan, contohnya hero dengan jujur memberitahu kenyataan hidupnya berbeza dengan dunia lakonan.

2. Seorang isteri mestilah bersabar menjalankan tanggungjawabnya dalam rumahtangga. Isteri Si penjaga panggung sabar dengan karenah suaminya yang terlalu mengagong-agongkan hero.

3. Seorang isteri hendaklah tabah melalui cabaran membesarkan dan mendidik anak-anak. Isteri Si penjaga panggung menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu walaupun dalam keadaan hidup mereka yang susah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan