Ahad, 9 Ogos 2009

Sajak "Pembeli Masa Sudah"

Terangkan tema dan persoalan sajak Pembeli Masa Sudah.

Tema sajak ini ialah cara penyair mencari bahan bagi karyanya daripada kehidupan manusia. Penyair mengambilnya daripada pengalaman silam orang lain dan juga diri sendiri lalu menyiarkannya untuk dibaca oleh mereka yang suka berfikir.

Salah satu persoalan sajak ini ialah betapa penyair pergi merata-rata dan menggunakan deria untuk menghayati kisah-kisah hidup manusia. Penyair hidup menyendiri dan jiwanya dibebani kisah-kisah itu.

Satu persoalan lagi ialah perihal cerewetnya penyair memilih bahan karyanya. Pemilihan teliti amat penting kerana akan menentukan mutu puisi dan ini mencerminkan mutu diri penyair.

Persoalan seterusnya ialah tentang proses mengolah bahan menjadi sajak, kemudian menyiarkannya. Puisi dihidangkan untuk pembaca yang gemar berfikir dan menimbang.

Persoalan akhir ialah bahawa penyair juga mengambil kisah pengalaman dirinya sendiri sebagai bahan karya. Semakin matang dan lanjut usianya, semakin berharga serta bererti pengalaman silamnya.

Nyatakan unsur-unsur bentuk dalam sajak Pembeli Masa Sudah.

Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap. Rangkap pertama mempunyai sembilan baris, rangkap kedua lapan, dan rangkap ketiga sembilan. Bilangan suku kata sebaris tidak sekata. Contohnya, baris pertama dalam rangkap pertama mempunyai 13 suku kata manakala baris akhir dalam rangkap akhir hanya mempunyai enam suku kata.

Skema rima rangkap pertama ialah abacdccae; rangkap kedua, abccbada; dan rangkap ketiga, abcddefg. Nyatalah bahawa dari segi bilangan baris serangkap, bilangan suku kata sebaris dan skema rima, sajak ini bebas, tidak terikat dengan bentuk puisi tradisional.

Aliterasi ada digunakan, contohnya “Penyair ialah pengunjung pasar kisah”, dengan tiga perkataan mempunyai huruf awal “p”. Contoh asonansi ialah “yang kian memberat di pundakku” dengan empat vokal “a”. Terdapat juga ulangan kata di awal baris, iaitu anafora seperti dalam dua baris berikut:

dari gelisah ke payah

dari sedih ke perih

Disamping ulangan kata di awal baris, iaitu “dari”, terdapa juga ulangan kata di tengah baris, iaitu “ke”. Rima antara kata di tengah dan di hujung baris juga ada digunakan, iaitu “gelisah” dengan “payah” dan “sedih” dengan “perih”.

Dipetik daripada The Star Online (19/10/2003)