Rabu, 27 Julai 2011

Dua Geliga Hikmat

Sinopsis:

Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksaksa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksaksa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasatuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Tema:

  • Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sanggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.


Persoalan:
  1. Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.

  2. Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  3. Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama:

Inderaputera

  • Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa

  • Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi

  • Paras rupa yang menarik

  • Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan tuan puteri.

  • Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.

  • Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak Sampingan:

Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

  • Ayahandanya Maharaja Syah Tokan

  • Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa

  • Rupa paras yang amat cantik

  • Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera sebagaimana yang dijanjikan.

Latar:

Latar Tempat:

(i) Tasik - tempat peri tinggal.

(ii) Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran

(iii) Balai Rangga Puspa Berahi - tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputra


Latar Masa:

(i) Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh

(ii) Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik

(iii) Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


Latar Masyarakat:

(i) Masyarakat feudal - Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja

(ii) Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya


Nilai:

  1. Nilai keberanian. Contohnya, Inderaputera berani menghadapi raksaksa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.

  2. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksaksa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksaksa semasa raksaksa ingin menindihnya.

  3. Nilai menempati janji. Contohnya, Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.

  2. Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.

  3. Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikan

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Isnin, 11 Julai 2011

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

TEMA

Kelebihan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .

SINOPSIS

Awang Sulung Merah Muda mengambil tugas daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menjaga kemudi geliung (kapal).

Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda.

Selepas 3 hari belayar, mereka tiba di Pulau Tapai. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengajak Awang Sulung Merah Muda berlabuh untuk mengambil kayu dan air.

Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mahu menguji kecekapan Awang Sulung Merah Muda dengan menyuruh Si Kembang Cina mengambil buyung suasa dan meminta Awang Sulung Merah Muda mengambil air.

Awang Sulung Merah Muda tidak ke pulau tetapi ke tengah laut, tempat arus paling deras. Air masin yang diambil bertukar menjadi manis seperti serbat.

Tuanku Nakhoda Tua memberitahu anak kapal (geliung) bahawa Laut Sekona Lingga ialah kawasan lanun dan sesiapa yang dapat menyelamatkan seisi kapal itu akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Ramai yang berminat untuk mengahwini Tuan Puteri Dayang Seri Jawa itu termasuklah jurumudi.

Tuanku Nakhoda Tua menyuruh budak hitam(Awang Sulung Merah Muda) pergi melawan lanun di laut.

Setelah dipujuk Awang Sulung Merah Muda pun mandi dengan limau selimpar pagar dan sabun mandi, tubuhnya hitam menjadi putih dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa semakin terpikat.

Awang Sulung Merah Muda memakai pakaian pusaka tua warisan bonda, mengenakan keris dan pedang sakti lalu berjumpa ketua lanun.

Awang Sulung Merah Muda meminta ketua lanun Si Helang Laut, Si Kecil Muda Teruna dan Si Kecil Muda Suara mengambil Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk dijadikan hamba.

Ketua lanun mengenali suara Awang Sulung Merah Muda lalu berasa takut.

Awang Sulung Merah Muda memberitahu pelayarannya mengiringi Tuan Puteri Dayang Seri Jawa pulang ke negerinya.

Disebabkan Awang Sulung Merah Muda ada hutang 28 rial dan emas sejangka tiga kepada Datuk Batin, maka ketua-ketua lanun itu memenuhkan kapal itu dengan rial batu dan emas.

Awang Sulung Merah Muda memberitahu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa bahawa dia telah mengalahkan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang mahu merampasnya daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa

Jurumudi(Awang Sulung Merah Muda) membuat helah dengan menikam seekor ayam dengan kerisnya dan memberitahu bahawa dia telah menyelamatkan kapal daripada lanun.

Tuanku Nakhoda Tua pun memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan anaknya dengan jurumudi itu.

Akhirnya Awang Sulung Merah Muda dinikahkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa .

Mereka akhirnya tiba di Negeri Pati Talak Terengganu. Semasa berangkat turun dari kapal, satu perkara aneh berlaku iaitu segala alat kebesaran berbunyi sendiri dan disambut oleh seluruh isi alam.

Ayam Awang Sulung Merah Muda iaitu Kinantan Suci telah menang berlaga dengan ayam di negeri itu.


Nilai

1. Nilai merendah diri – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot
2. Nilai keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
3. Nilai berani – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
4. Nilai kasih Sayang – contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.
5. Nilai bertimbang rasa- contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung.
6. Nilai keinsafan – contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.
7. Nilai rasional – contoh Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh dengan kata-kata jurumudi.
8. Nilai hormat kepada raja – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung berada di atas geliung tersebut.

Pengajaran

1. Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.
2. Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
3. Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
4. Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
5. Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.

Ahad, 10 Julai 2011

Merah Silu

Sinopsis
Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.
Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.
Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.
Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.
Tema
Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.
Merah Silu menjadi yatim piatu setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
Persoalan
1. Persoalan perselisihan antara adik-beradik
Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.
2. Persoalan perkara di luar logik akal
Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
3. Persoalan keberanian anak raja
Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
4. Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakat
Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.
5. Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat
Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan .
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Merah Silu
1. Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
2. Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
3. Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya
4. Kaya - Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
5. Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
6. Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
7. Seorang yang berani- Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
8. Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.
Watak Sampingan
Merah Hasum
1. Adik kepada Merah Silu
2. Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
3. Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar.
4. Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.
Megat Iskandar
1. Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
2. Tinggal di Buluh Telang.
3. Mempunyai ladang yang luas.
4. Bapa angkat kepada Merah Silu.
5. Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun
6. Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.
Sultan Maliku”l- Nasar
1. Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
2. Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
3. Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
4. Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.
Latar
Latar Tempat
Negeri Semerlanga
1. Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
2. Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.
Beruana
1. Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
2. Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
Kerbau Kampung
1. Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.
Hulu Karang
1. Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.
Negeri Buluh Telang
1. Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
2. Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.
Rimba Jerun
1. Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
2. Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.
Latar Masa
1. Bermula dari kelahiran Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2. Waktu malam – semasa Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3. Waktu siang - Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak banyak ikan.
Latar Masyarakat
1. Golongan bangsawan – Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2. Masyarakat yang suka menyabung ayam - Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
3. Golongan bawahan – orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
 Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa siri peperangan.
 Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di situ.
Gaya Bahasa
1. Bahasa Klasik – anderak, dibantunnya, senawat
2. Bahasa istana - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3. Bahasa Arab – berkat , Allah Taala
4. Personifikasi – matahari mati
5. Metafora – kerbau jalang
6. Hiperbola
- Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk bekas kerbau itu berjalan .
- Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.
Nilai
1. Nilai Taat Setia – rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2. Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3. Nilai Keberanian - - Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4. Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.
Pengajaran
1. Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.
2. Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu- gugat.
3. Kita hendaklah menghormati tetamu.
4. Kita janganlah menganiayai binatang.
5. Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.