Selasa, 7 April 2009

Cerpen Pusaran

Sinopsis

Cerpen ini mengisahkan hubungan di antara seorang budak lelaki yang bernama Junid dengan seekor anak lembu jantan yang bernama Pusaran. Junid amat menyayangi Pusaran yang telah menjadi sahabatnya semenjak berusia empat tahun. Junid dan Pusaran tidak dapat dipisahkan. Junid dan Pusaran sama-sama pernah jatuh sakit ketika Junid dihantar bercuti ke rumah datuknya.

Sewaktu tiba masanya Junid disekolahkan, ayahnya Mohsin dan ibunya Musalmah berpendapat bahawa telah tiba masanya agar Junid dan Pusaran dipisahkan.

Sempena Hari Raya Korban, Pusaran dijual oleh Mohsin tanpa pengetahuan Junid. Semasa pulang dari sekolah, Junid mendapati Pusaran telah tiada. Dia mencari Pusaran di merata-rata tempat. Akhirnya dia terjumpa Pusaran di tempat Pusaran hendak disembelih.

Junid sangat sedih dan menerkam ke atas leher Pusaran dan memeluknya erat-erat. Dia meminta dirinya dibunuh sama. Orang yang sedang bertakbir berhenti. Tuan Haji Subki mengarahkan supaya penyembelihan itu dibatalkan lalu menasihati Mohsin supaya berbincang dahulu dengan Junid sebelum membuat keputusan. Mohsin berjanji tidak akan memisahkan Junid dengan Pusaran.


Tema

Tema cerpen ini ialah kasih sayang.Kasih sayang cuba ditonjolkan ialah kasih sayang seorang manusia terhadap seekor anak lembu.


Persoalan

1. Kemesraan antara manusia dan haiwan - digambarkan melalui watak Junid dan Pusaran.

2. Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak -Musalmah dan Mohsin menyayangi dan mengambil berat terhadap anak-anak.

3. Nilai hidup bermasyarakat - masyarakat tolong menolong sewaktu upacara korban.

4. Sistem nilai kepercayaan masyarakat Melayu desa terhadap tahyul - orang kampung termasuk ibu bapa Junid percaya kata-kata bomoh bahawa Junid dan Pusaran merupakan kembar.


Watak dan Perwatakan

Junid

Watak utama cerpen ini. Dia merupakan anak lelaki bongsu Mohsin dan Musalmah. Dia sangat menyayangi haiwan peliharaan bapanya iaitu seekor lembu yang dinamakan Pusaran. Dia sangat aktif bila bersama Pusaran tetapi akan bermuram apabila berjauhan daripada Pusaran. Dia seorang yang sanggup berkorban demi mempertahankan haiwan kesayangannya itu.

Pusaran

Seekor lembu peliharaan keluarga Junid. Ia sangat disayangi oleh Junid. Pusaran sangat manja dan jinak serta gemuk dan sihat kerana sering diberi makan oleh Junid. Menyayangi Junid sehinggakan tidak makan dan menunjukkan sikap murung ketika berjauhan dengan Junid.

Mohsin

Bapa Junid. Suami kepada Musalmah. Membuat kerja kampung. Dia ialah seorang lelaki yang rajin bekerja. Menyayangi anak-anaknya walaupun tidak begitu memahami perasaan anaknya apabila dia telah bertindak menjual Pusaran tanpa berbincang terlebih dahulu dengan anaknya.

Junaidi

Abang kepada Junid. Dia berusia 15 tahun dan rajin menolong bapanya menjaga lembu dan kambing ternakan.

Rashid dan Adi

Abang kepada Junaidi. Mereka rajin bekerja membantu ibu bapa mereka menjaga ternakan.

Tuan Haji Subki

Seorang yang suka menasihati. Bertimbang rasa kerana sanggup membatalkan rancangan menyembelih Pusaran apabila melihat kesedihan Junid. Beliau seorang yang dihormati oleh orang lain. Hal ini terbukti apabila orang kampung mematuhi arahannya supaya membatalkan penyembelihan Pusaran.

Pak Cik Kar

Seorang bomoh tua yang cacat penglihatan (buta). Dia percaya pada kuasa roh. Dia diyakini oleh orang kampung.


Plot

Plot cerita ini mengikut kronologi.

1. Eksposisi

Watak Junid dan Pusaran diperkenalkan. Kemesraan Junid dan Pusaran digambarkan melalui perbuatan Pusaran yang menjilat-jilat tubuh badan Junid manakala Junid suka menggosok belakang serta menunggangi Pusaran.

2. Pertengahan Cerita

Cerita dikembangkan dengan kejadian yang berlaku secara kebetulan iaitu persamaan antara Junid dan Pusaran. Contohnya, sewaktu Pusaran diserang penyakit sejuk, kesihatan Junid juga terganggu. Begitu juga apabila Pusaran beransur sembuh, Junid juga beransur sembuh. Sebagai akibatnya, timbul konflik melalui tafsiran Pak Cik Kar yang menyatakan bahawa Junid merupakan kembar Pusaran. Ia mengakibatkan usaha memisahkan Junid namun tidak berjaya. Klimaks cerita ini ialah penjualan Pusaran oleh Mohsin untuk dijadikan korban sehingga menimbulkan konflik dalam jiwa Junid yang kehilangan Pusaran.

3. Pengakhiran Cerita

Junid menjumpai Pusaran yang akan disembelih lalu memeluk dan meminta dibunuh sama jika Pusaran disembelih. Hal ini menyebabkan perasaan simpati di hati Tuan Haji Subki yang menasihati Mohsin. Mohsin akhirnya berjanji tidak akan mengapa-apakan Pusaran.


Nilai dan Pengajaran

Nilai

1. KASIH SAYANG

Kasih sayang tidak terbatas terhadap manusia sahaja, tetapi termasuk juga haiwan yang bernyawa. Ia ditunjukkan melalui sifat Junid yang menyayangi lembunya. Begitu juga dengan Mohsin yang menyayangi anaknya sehingga tidak sanggup melihat anaknya bersedih.

2. BELAS KASIHAN

Perasaan belas kasihan patut ditunjukkan bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada haiwan. Nilai ini ditunjukkan melalui sikap Junid yang tidak sanggup melihat haiwan peliharaannya disembelih.

3. TOLONG -MENOLONG

Sikap tolong-menolong perlu diamalkan di dalam masyarakat dan keluarga. Nilai ini ditunjukkan melalui watak Adi, Rashid dan Junaidi yang rajin membantu ibu bapa mereka. Begitu juga dengan sikap orang kampung yang bekerjasama untuk melakukan penyembelihan untuk acara korban.

Pengajaran

1. Kita haruslah mempunyai perasaan kasih sayang terhadap makhluk yang bernyawa termasuklah haiwan, selain manusia yang terdekat dengan kita.

2. Kita patut mempunyai belas kasihan serta turut bersimpati terhadap nasib orang lain termasuk haiwan.

3. Ibu bapa perlulah memberi peluang kepada anak-anak untuk mendapat pendidikan yang sempurna.


Gaya Bahasa

1. Penggunaan Dialek Daerah

Pengarang menggunakan beberapa perkataan dalam dialek Kelantan, iaitu:

a) karang - bermaksud nanti. Contohnya: "Aku pergi ke sekolah pagi ini. Karang kita bertemu."

b) cerat - bermaksud pasti. Contohnya: Junid memasang telinga. Tapi dia kurang jerat.

c) jemburan - bermaksud anjung rumah. Contohnya: Dia sedang berdepan dengan ibunya yang sudah berdiri di atas jemburan.

2. Penggunaan perkataan berunsur Islam.

Contohnya : akhirat, korban dan takbir.

3. Penggunaan Dialog

Contoh:

  • "Tidak, ayah. Tidak. Pusaran baik. Pusaran tidak akan memijak Junid."

4. Penggunaan Ayat Tanya

Contoh:

  • Kau sudah makan? Sudah kenyang?

  • Dia berlari-lari lagi. Ke mana?

5. Penggunaan Ayat Seruan

Contoh:

  • Ya, Allah!

  • Ah, karut!


Diprtik daripada http://www.geocities.com/rosazura2002/bahasa.htm

3 ulasan: