Rabu, 6 Januari 2016

www.sibermerdeka.com.my

Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
untuk menentang senja dan malam.

Dalam diri penyajak, dia telah membuat pelbagai perancangan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan segala masalah / kesusahan yang dihadapinya.


Dalam parlimen diriku
aku bahas isu onak dan enak
untukku merdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotak-katikkan.

Dalam pemikiran penyajak, dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.



Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman
untuk menguji amal dan iman.

Dalam kehidupan penyajak, dia sering berhadapan dengan pelbagai dugaan yang menguji kesabaran dan keimanannya.


Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan nberingat lagi.

Penyajak yang berasakan dirinya hebat sering terpedaya oleh nafsu. Namun begitu, penyajak cepat tersedar seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.


Dalam pentas diriku
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak duga klimaksnya.

Penyajak sentiasa berusaha membaiki dirinya dengan bertekad untuk berubah ke arah kebaikan walaupun dia tidak mengetahui apa-apa yang bakal ditempuhnya pada hari-hari yang mendatang.


Dalam dewan diriku
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.

Penyajak yang semakin berusia menjadi lebih matang. Dia tidak mudah panik dan tidak mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang terhadap dirinya.


Apabila sebermerdeka sampai
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarah
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambnil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri
untuk tidak mengulangi kekalahan.

Dalam era globalisasi, penyajak sering melakukan muhasabah diri dalam mencari erti kehidupan agar dia tidak mudah tewas dalam perjuangannya.


Kini, kapal diriku telah berlabuh di pangkalan usia
aku turun darinya menghadapi hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan sibermerdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan
elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan.

Apabila tiba waktunya, penyajak harus bersedia menghadapi kenyataan hidup yang bersifat sementara. Setiap peristiwa dalam hidup penyajak berlalu dengan amat pantas. Oleh itu, penyajak menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan.



TEMA

Ketabahan insan dalam mendepani dugaan hidup.


PERSOALAN

Kepentingan merancang kehidupan 
Contoh : Dalam diri penyajak, dia telah membuat pelbagai perancangan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan segala masalah / kesusahan yang dihadapinya.
 
Kegigihan untuk menyelesaikan masalah
Contoh : Dalam pemikiran penyajak, dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
 
Cara menjalani hidup dengan bermanfaat
Contoh : Penyajak menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan.
 

BENTUK SAJAK

Terdiri daripada lapan rangkap

Terdiri daripada tiga hingga 10 baris dalam satu rangkap

Terdiri daripada tiga hingga enam perkataan dalam satu baris

Terdiri daripada tujuh hingga 15 suku kata dalam satu baris

Rima akhir mempunyai bentuk bebas / tidak terikat.

Rangkap pertama : abac
Rangkap kedua : abac
Rangkap ketiga : abb
Rangkap keempat : abc
Rangkap kelima : abcde
 Rangkap keenam : abcbc
Rangkap ketujuh : abcdefe
Rangkap kelapan : abcdefghbh 


GAYA BAHASA 

sinkof
Contoh :
  • untuk ku merdekakan warga fikirku
  • yang tak diduga klimaksnya
  • Elakkan dirimu menjadi sia-sia
 
hiperbola
Contoh :
  • hidup menentang senja dan malam
  • aku berlatih menangkis angin
  • aku berlatih memunggah awan
 
personifikasi
Contoh :
  • ombak gelora menampar pantai aman
  • oleh kata yang mengekang
  • oleh kata yang menyerang
  • bagai siang memanggil malam

repitisi
Contoh :
  • menghayati skrip demi skrip
  • peristiwa datang peristiwa pergi
 
anafora
Contoh :
  • akuberlatih menangkis angin
  • akuberlatih memunggah awan
 
responsi
Contoh :
  • aku berlatih menangkis angin
  • aku berlatih memunggah awan
 
simile
Contoh :
  • bagaisiang memanggil malam
 
metafora
Contoh :
  • Dalam kebun diriku
  • aku tanam saujana rancangan
  • untuk memerdekakan warga susahku
  • Dalam parlimen diriku
  • untuk ku merdekakan warga fikirku
  • Dalam laut diriku
  • Dalam gergasi diriku
  • Dalam pentas diriku
  • Dalam dewan diriku
  • ke rumah cabaranku
  • Kini, kapal diriku telah berlabuh
  • di pangkalan usia

kata ganda
Contoh :
  • Elakkan dirimu menjadi sia-sia 


NILAI

Nilai rasional
Contoh : Penyajak berfikiran rasional apabila menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan.
 
Nilai kegigihan
Contoh : Dalam pemikiran penyajak, dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
 
Nilai keinsafan
Contoh : Penyajak cepat insaf / tersedar akan kesalahannya seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.


PENGAJARAN

Kita mestilah insaf apabila melakukan kesalahan
Contoh : Penyajak cepat insaf / tersedar akan kesalahannya seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.
 
Kita mestilah memiliki pendirian
Contoh : Penyajak tidak mudah panik dan tidak mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang terhadap dirinya.
 
Kita mestilah sentiasa melakukan muhasabah diri
Contoh : Penyajak sering melakukan muhasabah diri dalam mencari erti kehidupan agar dia tidak mudah tewas dalam perjuangannya.

13 ulasan: